Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Rundingan penaiktarafan AANZFTA dimuktamadkan

    PHNOM PENH, 13 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menghadiri acara bagi mengumumkan kemuktamadan substantif perundingan menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas
    ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA).

    Ia merupakan salah satu Priority Economic Deliverables (PED) bagi Kemboja, negara pengerusi bagi ASEAN pada tahun ini.

    Acara yang diadakan di samping sidang-sidang kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN bagi tahun ini; Perdana Menteri Australia, Tuan Yang Terutama Anthony Albanese dan Perdana Menteri New Zealand, Puan Yang Terutama Jacinda Ardern.

    Negara Brunei Darussalam merupakan negara penyelaras bagi Perjanjian AANZFTA dan penaiktarafannya yang telah bermula pada 2021.

    Penaiktarafan perjanjian berkenaan dijangka akan membuka peluang-peluang baharu dengan penerapan elemen-elemen baharu, seperti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan pembangunan berdaya tahan ke dalam perjanjian tersebut.

    Dengan penaiktarafan itu, ia juga mengekalkan identitinya sebagai sebuah perjanjian yang bertaraf tinggi, responsif terhadap cabaran-cabaran baharu, menerapkan amalan-amalan perdagangan moden dan bermakna bagi peniaga-peniaga di rantau ini.

    Perjanjian yang dinaik taraf berkenaan juga dijangka akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang inklusif dan berdaya tahan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama Perdana-perdana Menteri Kemboja, Australia dan New Zealand semasa acara bagi mengumumkan kemuktamadan substantif perundingan menaik taraf AANZFTA. – Gambar oleh Infofoto
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...