MOSCOW, 11 FEB – Kremlin berkata hari ini tidak adanya ‘keputusan’ dicapai berikutan satu mesyuarat dengan perunding dari Rusia, Ukraine, Jerman dan Perancis dalam usaha untuk menyelesaikan krisis berhubung Ukraine.
Para diplomat bertemu dalam format ‘Nomandy’ di Berlin semalam di tengah kebimbangan bahawa Rusia merancang satu serangan ke atas jiran Ukraine.
“Kami semua menyaksikan semalam mesyuarat penasihat politik Normandy Empat berakhir tanpa sebarang keputusan,” beritahu jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kepada wartawan hari ini.
Beliau berkata beberapa diplomat ‘mempunyai masalah membaca teks yang amat ringkas dan jelas’ mengenai perjanjian perdamaian Minsk 2015 di antara Kyiv dan Moscow mengenao konflik pemisah.
“Malangnya pihak Ukraine melakukan segala-galanya tidak memenuhi komitmennya,” tambah Peskov.
Format ‘Normandy’ empat hala itu dilancarkan pada 2014 dalam usaha untuk menamatkan pertempuran di antara Ukraine dan pemisah sokongan Rusia di timur negara.
Mesyuarat semalam – yang berlangsung lebih sembilan jam – diadakan di tengah usaha diplomasi Eropah untuk meredakan ketegangan berhubung krisis Ukraine.
Pemimpin Barat telah menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan Rusia menyerang Ukraine selepas Moscow mengumpul lebih 100,000 tentera di sempadan dengan negara jiran bekas Soviet itu.
“Kami gagal mencapai persetujuan mengenai dokumen umum,” kata Andriy Yermak, perunding Kyiv dan pembantu Presiden Ukraine Volodmyr Zelensky pada taklimat lewat malam selepas mesyuarat.
Menurut Jerman, mesyuarat akan datang dalam Format Normandy dijadualkan pada Mac. – AFP