Rundingan terakhir Brexit

LONDON, 15 Mei – Theresa May telah menetapkan persemukaan keempat dengan parlimen berhubung perjanjian penarikan diri EU pada bulan depan, yang mungkin juga merupakan usaha terakhir beliau sebagai perdana menteri Britain.

Selepas rundingan dengan pemimpin pembangkang Buruh Jeremy Corbyn pada petang semalam, May mengumumkan bahawa ahli parlimen akan mengundi mengenai undang-undang untuk melaksanakan perjanjian Brexit pada minggu bermula 3 Jun.

Namun parti Buruh mengingatkan bahawa ia masih belum bersetuju untuk menyokong rang undang-undang tersebut, sementara sekutu May, Ireland Utara berkata melainkan perjanjian EU diubah, mereka tidak akan menyokongnya.

May mencapai satu perjanjian mengenai syarat-syarat pengeluaran Britain dengan Kesatuan Eropah pada November, namun ia telah ditolak sebanyak tiga kali oleh Dewan Rakyat.

Tidak rela menamatkan keahlian EU selama lebih empat dekad tanpa satu perjanjian, beliau telah menangguh Brexit dua kali, terbaharu pada 31 Oktober.

Dalam gambar fail bertarikh 11 April 2019 menunjukkan Theresa May bercakap ketika persidangan akhbar pada akhir sidang kemuncak EU di Brussels. Rundingan Brexit di antara kerajaan Konservatif Britain dan pembangkang Parti Buruh diteruskan tanpa kemajuan, dengan kedua-dua parti gagal mencapai persetujuan mengenai pengeluaran UK dari Kesatuan Eropah. – AP

Menetapkan satu tarikh untuk pengundian parlimen akan datang tanpa satu perjanjian dengan Buruh merupakan satu risiko, sekiranya beliau tewas, May tidak boleh mengadakan satu lagi sesi parlimen.

Namun penangguhan Brexit telah menimbulkan kemarahan di kalangan ahli parlimen Konservatif serta pengundi, dan parti tersebut dijangka menerima kekalahan teruk pada pengundian Eropah minggu depan.

May juga menerima tekanan untuk menunaikan janjinya kepada ahli parlimen untuk melancarkan Brexit dan seterusnya meletak jawatan.

Beliau akan bertemu dengan anggota Konservatif esok yang telah menuntut satu jadual masa terperinci untuk pesaraan beliau.

Menteri-menteri beliau, kebanyakannya telah pun berebut-rebut untuk mengganti beliau, bersetuju pada minggu ini bahawa mana-mana perjanjian mesti diluluskan sebelum cuti musim panas parlimen pada akhir Julai.

Britain boleh keluar dari EU pada 31 Julai. – AFP