Rundingan tubuh kerajaan gabungan Austria bermula

VIENNA, 13 NOV – Rundingan bagi membentuk kerajaan gabungan di Austria bermula semalam antara Parti Rakyat Austria (OVP) dan Parti Hijau selepas pilihan raya pada akhir September, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Mesyuarat pertama diadakan dengan penyertaan wakil terkemuka semua pihak. Bercakap dalam sidang akhbar bersama selepas mesyuarat itu, pemimpin OVP, Sebastian Kurz, berkata kedua-dua pihak mempunyai pendekatan berbeza dan selepas rundingan, mereka akan dapat membentuk satu gabungan.

Pemimpin Parti Hijau Werner Kogler pula berkata kedua-dua pihak mempunyai pendekatan yang sama berhubung beberapa isu dan pendekatan berbeza dalam isu lain namun rundingan pembentukan gabungan bermula dengan harapan bahawa mereka akan berupaya menangani situasi itu.

OVP meraih 37 peratus undi dalam pengundian pada September dan memilih 71 timbalan manakala Parti Hijau mendapat 13.9 peratus undi dan memilih 26 anggota parlimen. – Bernama