Running Man lakar kejayaan siar 564 episod

Program Running Man akhirnya menjadi rancangan aneka ragam paling lama bersiaran iaitu 564 episod sekali gus mengatasi Infinite Challenge.

Semalam, produksi rancangan itu sempat berbual mengenai pencapaian terbabit menerusi episod baharunya. Jelas berita gembira itu disambut dengan penuh kegirangan oleh bintang program terbabit.

Menurut Yoo Jae Suk dan HaHa, rekod Infinite Challenge berjaya diatasi mereka meskipun program terbabit lebih lama disiarkan daripada kiraan tahunnya.

“Kalau lihat menerusi kiraan tahun, Infinite Challenge dua tahun lebih panjang siarannya. Tapi, banyak minggu program itu tidak ditayangkan kerana gangguan rangkaian misalnya.

“Jadi, kalau melihat pada jumlah episodnya pula, Running Man lebih banyak. Jadi maknanya kita sudah dua kali pecahkan rekod itu. Ia sangat mengagumkan,” kata mereka.

Running Man mula disiarkan sejak Julai 2010 dan berjaya mencipta fenomena selama 11 tahun. Corak aktiviti dalam program itu jelas bersahaja, namun berjaya mencuit hati penonton pelbagai lapisan umur.

Bagaimanapun, peminat tegar program itu jelas bersedih selepas bintang asalnya Lee Kwang Soo mengumumkan berundur pada April tahun ini. Meskipun turut bersedih, produksi terbabit menghormati keputusan dibuat Kwang Soo itu. – Agensi

Running Man mula disiarkan sejak Julai 2010 dan berjaya mencipta fenomena selama 11 tahun. – Agensi