MONTREAL, 3 FEB – Kira-kira 500 pelancong terperangkap dalam resort ski di barat Kanada semalam selepas runtuhan lumpur memusnahkan jalan raya, lapor media tempatan.
Hujan lebat mencetuskan aliran lumpur dan runtuhan lumpur menghanyutkan kira-kira 0.6 batu satu-satunya akses jalan ke Sasquatch Mountain Resort, kata kementerian pengangkutan British Columbia dalam satu kenyataan.
Ia berkata kerja pembersihan jalan mungkin mengambil masa lima hingga enam hari dan menyeru penduduk tempatan supaya tinggal dalam rumah sementara mereka menunggu kerja-kerja siap.
“Kami berada dalam kuasa Alam Semula Jadi,” kata Shelby Lim, pengurus resort, dalam satu temu bual dengan CBC.
Beliau menambah resort itu, yang terletak kira-kira 60 batu dari timur Vancouver, telah terputus bekalan elektrik disebabkan cuaca buruk tetapi mempunyai penjana.
Lim juga berkata pelancong boleh meninggalkan resort menerusi perkhidmatan helikopter, yang berharga AS$150 seorang.
Kira-kira 100 orang telah atau berhasrat menggunakan perkhidmatan helikopter untuk meninggalkan kawasan itu, tetapi yang lain telah memutuskan untuk tinggal dan menunggu jalan dibuka semula. – AFP




























