Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Runtuhan purba Iraq dibuka semula kepada pelancongan

    HATRA, IRAQ – Bersiar-siar di sepanjang runtuhan purba Hatra di utara Iraq, berpuluh-puluh pengunjung mengagumi tapak tersebut, di mana inisiatif tempatan berusaha untuk membuka lembaran baharu selepas pemerintahan kumpulan IS yang singkat tetapi kejam.

    Dikhaskan sebagai tapak warisan dunia yang terancam oleh UNESCO, Hatra dibina sejak abad ke-2 dan ke-3 SM. Dua jam pemanduan dari Mosul, bekas ‘ibu kota’ yang diisytiharkan oleh kumpulan IS, yang ditawan semula pada 2017 oleh tentera Iraq dan gabungan antarabangsa yang menyokong mereka.

    Lawatan ke tapak itu pada Sabtu lalu, yang pertama seumpamanya dianjurkan oleh sebuah muzium persendirian di Mosul, bertujuan untuk meningkatkan pelancongan di kawasan itu.

    Kira-kira 40 orang pelawat, kebanyakannya warga Iraq, dibenarkan bersiar-siar di sekitar tapak arkeologi berusia lebih 2,000 tahun itu pada waktu senja.

    Pelancong-pelancong berswafoto di hadapan tiang yang mengagumkan dan memeriksa ukiran-ukiran yang dirosakkan oleh IS.

    Kelihatan seorang pelawat berswafoto. – AFP
    Sekumpulan pelancong melawat bandar purba Hatra di utara Iraq. – AFP
    Para pelawat tidak melepaskan peluang untuk menangkap gambar kawasan bandar purba Hatra. – AFP

    “Ia mempunyai sejarah yang hebat, membolehkan mengimbau ke dalam tamadun purba,” kata Luna Batota, 33 tahun dalam lawatan bersama suaminya warga Belgium.

    “Banyak sejarah tetapi pada masa yang sama banyak peristiwa malang berlaku di sini akibat IS,” katanya kepada AFP.

    Batota bekerja untuk sebuah syarikat farmaseutikal di Belgium, tempat dia tinggal sejak berumur sembilan tahun. 24 tahun kemudian, ini adalah kali pertama dia kembali ke tanah airnya. Mengunjungi Hatra menimbulkan perasaan yang bercampur baur untuknya, katanya.

    “Awda dapat melihat kesan lubang daripada peluru dan melihat banyak peluru kosong.”

    Sebuah pusat keagamaan dan perdagangan yang penting di bawah empayar Parthia, Hatra mempunyai kubu-kubu yang mengagumkan dan kuil-kuil yang megah, menggabungkan gaya seni bina Yunani dan Rom dengan unsur-unsur hiasan timur.

    Pada 2015, IS mengeluarkan video yang menunjukkan kumpulannya memusnahkan beberapa siri ukiran, menembak dan menetak dengan beliung.

    Pada bulan Februari, pihak berkuasa melancarkan tiga pemulihan di tapak: arca gaya Rom bersaiz sebenar dan ukiran-ukiran di sisi kuil besar.

    ‘Bukan hanya peperangan’

    Lima tahun selepas kekalahan IS, Mosul dan sekitarnya telah kembali normal, walaupun usaha pemulihan tergendala dan banyak kawasan masih menanggung kesan perjuangan menentang IS.

    Lawatan ke Hatra telah dianjurkan oleh Mosul Heritage House, sebuah muzium persendirian yang dirasmikan pada bulan Jun.

    Tetapi sebelum itu, kawasan itu menarik pengunjung individu, menurut salah seorang penganjur, Fares Abdel Sattar, seorang jurutera berusia 60 tahun.

    Inisiatif baharu ini bertujuan untuk mempamerkan warisan dan identiti Mosul dan wilayah Nineveh yang lebih luas, katanya.

    Selepas berkuasa pada 2014 dan penaklukan kawasan Iraq dan Syria, IS menghadapi serangan balas di kedua-dua negara. Tentera Iraq akhirnya meraih kemenangan pada akhir 2017.

    Ketika Iraq secara beransur-ansur membuka kepada pelancongan asing, berpuluh-puluh pelawat khususnya dari Barat yang kini meneroka negara itu, malah ada yang menerokai Mosul.

    Kumpulan Hatra adalah perintis, melakukan lawatan pada masa Amerika Syarikat, British dan kerajaan lain memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak membuat perjalanan ke Iraq, memetik risiko keganasan, penculikan, konflik bersenjata dan pergolakan awam.

    Sektor pelancongan juga mengalami kemunduran dengan kes pesara British James Fitton, yang ditahan dan dihukum penjara 15 tahun kerana serpihan tembikar yang dikutipnya di tapak arkeologi, sebelum mahkamah pada Julai membatalkan hukuman itu dan dia terbang pulang ke negara asal.

    Pelancongan keagamaan ke kota suci Syiah Karbala dan Najaf telah berkembang maju, kebanyakannya dari Iran. Bagaimanapun, cabaran kekal dan infrastruktur pelancongan masih pada asasnya di Iraq, sebuah negara yang kaya dengan minyak tetapi musnah akibat pertempuran selama beberapa dekad.

    “Mosul bukan sahaja mengenai peperangan, IS, keganasan,” kata Beriar Bahaa al-Din, pelajar kedoktoran dalam antropologi di Universiti Exeter di Britain, dalam lawatan Hatra.

    “Mosul adalah sebuah tamadun, warisan, budaya,” tambahnya. “Tapak yang mengagumkan ini sepatutnya penuh dengan pelancong dari seluruh dunia.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...