Rupa paras jadi ukuran – Salma

Walaupun memiliki vokal mantap, juara program realiti Mentor 5 dan Pentas Epik 3 Juara, Salma Asis, 29, akur apabila rupa paras menjadi ukuran populariti seorang selebriti.

Hampir sedekad berhijrah ke ibu kota dari Sabah demi mencari rezeki, nyata nasib belum memihak ibu muda itu untuk mengecapi populariti sebaris penyanyi lain.

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac lalu menyebabkan kerjaya nyanyian Salma bertambah sepi. Namun, demi meneruskan kelangsungan hidup bersama cahaya mata berusia 13 dan 5 tahun, dia terpaksa memikirkan alternatif memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan.

Salma berkata, dia menjual donut dan ayam pedas Korea berikutan sumber pendapatan nyanyian terjejas sejak PKP.

Biarpun, wang hasil perniagaan tidak seberapa, tetapi apa yang penting, mampu meraih pendapatan harian.

“Saya mula berniaga sejak PKP selepas beberapa undangan nyanyian dibatal dan ditangguhkan. Kebanyakan adalah majlis perkahwinan dan tapak karnival. Saya tidak kisah menyanyi di mana sahaja, asalkan mendapat sumber pendapatan halal.

“Walaupun tidak dikenali dalam kalangan generasi baharu, saya tidak kisah. Saya juga tidak berkecil hati apabila tidak dikenali dalam laman sosial. Sebagai ibu, saya lebih suka memikirkan perasaan anak daripada sibuk menjadi tular. Saya tak pandang kepada perkara lain.

“Selepas hampir 10 tahun dalam industri muzik, saya tak mengharapkan nama ‘meletup’ atau hendak mengejar populariti, asalkan rezeki kami sekeluarga tidak putus. Walaupun arena hiburan sudah kembali rancak, tetapi rezeki masih belum memihak kepada saya. – Agensi

Salma tidak kisah menyanyi di mana sahaja, asalkan mendapat sumber pendapatan halal. – Agensi