Rusa gergasi menyalak ditemui di Kemboja

PHNOM PENH, 25 JUN – Spesies rusa gergasi menyalak yang terancam ditemui di Kemboja buat pertama kali, satu rangsangan bagi usaha pemuliharaan hidupan liar negara itu, menurut pegawai hari ini.

Rusa gergasi muntjac – juga dikenali kerana tanduknya yang panjang – dikesan melalui kamera tersembunyi pada April di Taman Negara Virachey, wilayah Ratankiri, timur laut Kemboja, menurut jurucakap kementerian alam sekitar, Neth Pheaktra.

Namun penemuan itu hanya didokumenkan baru-baru ini selepas pihak berkuasa Kemboja mendapatkan kamera itu dan menapis futej berbulan-bulan dari hutan, yang juga tapak pembalakan haram.

“Ini adalah berita paling gembira buat Kemboja dan seluruh dunia apabila rusa yang jarang ditemui dan spesies terancam dikesan d Kemboja,” katanya.

“Ia hasil keputusan positif usaha kerajaan melindungi sumber alam semula jadi,” tambahnya.

Spesies itu pertama kali ditemui di hutan negara jiran, Vietnam dan Laos dalam 1994.

Dikenali dengan nama saintifiknya, Muntiacus Vuquangensis, spesies itu diletakkan dalam senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa sebagai amat terancam. – AFP

Gambar serahan Kementerian Alam Sekitar Kemboja menunjukkan rusa muntjac yang dirakamkan di Taman Negara Virachey, Kemboja. – AFP