Rush milik Haji Kipli

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Kereta Toyota Rush menjadi milik Haji Kipli bin Mohd Tahir apabila namanya diumumkan sebagai pemenang utama kempen promosi Rush to Darussalam Holdings.

Di tempat kedua dengan menerima tiket penerbangan ke London ialah Tan Lee Jean manakala itu, Hajah Mardiana binti Haji Mohammad memenangi tiket penerbangan ke Seoul.

Tujuh orang lagi pemenang membawa pulang hadiah berupa telefon pintar Samsung S10e, televisyen Aifa Curve 55 inci, Apple iPad, tiket penerbangan masing-masing ke Shanghai dan Bali, komputer riba Acer Aspire dan tiket penerbangan untuk dua orang ke Kota Kinabalu.

Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang utama ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang juga selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).

Sementara itu, hadiah untuk pemenang kedua hingga ke-10 pula disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bergambar ramai bersama para pemenang kempen promosi Rush to Darussalam Holdings.

Pengarah Urusan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), Haji Mahmud bin Haji Mohamed dalam ucapannya berkata, sambutan memberangsangkan diterima daripada pelanggan tetap mahu pun orang ramai sejak kempen promosi berkenaan bermula.

Kertas undian yang terkumpul dalam kempen promosi itu mencecah 5,721 dan hanya 50 yang terpilih untuk menghadiri majlis cabutan berkenaan di mana hanya 10 pemenang dipilih.

Pelanggan tetap dan orang ramai secara berterusan memberi sokongan kepada DHSB melalui pembelian atau transaksi pembayaran secara penuh pakej haji dan umrah, pembelian tiket penerbangan, pakej pelancongan keluar negara, tempahan hotel serta perkhidmatan Aqiqah dan Qurban.

Selain meningkatkan pasaran produk perniagaan, tambahnya, DHSB juga berhasrat untuk meningkatkan jumlah pelanggannya dalam semua perkhidmatan yang ditawarkan selain mempertingkatkan kualiti produk dalam ruangan khas maklum balas para pelanggan dan orang ramai melalui talian kaji selidik, laman web dan media sosial.

Kempen promosi berkenaan telah bermula pada awal April hingga penghujung Disember lalu.