Rusia adakan latihan tentera bersama ASEAN bulan depan

JAKARTA, 24 NOV – ASEAN dan Rusia buat julung kali akan mengadakan latihan tentera laut bersama di perairan wilayah Indonesia pada 1 hingga 3 Disember, kata Wakil Tetap Rusia ke ASEAN, Alexander Ivanov.

Latihan yang bakal diadakan di perairan wilayah Sumatera Utara itu bertujuan menyelaras operasi saling kendali antara tentera laut Rusia dan negara anggota ASEAN bagi memastikan keselamatan aktiviti maritim perdagangan dan perkapalan.

“Kapal perang besar antikapal selam Admiral Panteleyev akan mewakili Rusia dalam latihan tersebut,” kata wakil tetap itu dipetik Agensi Berita Rusia, Tass.

Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dijangka merasmikan latihan ketenteraan itu yang akan diadakan menerusi dua fasa iaitu dalam talian dan fasa lautan.

Latihan tersebut diluluskan pada sidang kemuncak keempat Rusia dan ASEAN pada 28 Oktober menerusi persidangan video, sempena ulang tahun ke-30 hubungan kedua-dua pihak. Sidang kemuncak itu turut menerima pakai beberapa dokumen bertujuan memperkasakan lagi perkongsian strategik. – Bernama