Rusia adakan latihan tentera terbesar

CHITA, Rusia, 11 Sept – Rusia hari ini telah melancarkan latihan tentera terbesar negara itu, dengan beratus ribu tentera telah mengambil bahagian bersama tentera China dalam latihan yang dikecam oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai latihan bagi ‘konflik bersekala besar’.

Presiden Vladimir Putin dijangka menghadiri latihan itu selepas menganjur forum ekonomi di bandar timur Rusia Vladivostok di mana rakan sejawatan China Xi Jinping ialah salah seorang tetamu terkenal.Latihan selama seminggu yang bergelar ‘Vostok-2018’ itu ‘telah bermula’ di timur Rusia, menurut Kementerian Pertahanan .

Sekitar 300,000 tentera, 36,000 kenderaan tentera, 1,000 kapal terbang dan 80 kapal perang mengambil bahagian dalam latihan tersebut.

Manakala kira-kira 3,500 tentera China akan mengambil bahagian dalam latihan itu.

Kementerian pertahanan telah memuat naik video yang menunjukkan kereta tentera, pesawat, helikopter dan kapal berada di posisi pada permulaan latihan itu. Sementara itu, Putin memuji hubungan Rusia yang semakin rapat dengan China ketika dia bertemu dengan Xi di forum ekonomi di Vladivostok hari ini.

“Kami mempunyai hubungan yang boleh dipercayai dalam bidang politik, keselamatan dan pertahanan,” kata pemimpin Rusia itu.

Xi bagi pihaknya berkata ‘persahabatan kedua-dua negara semakin kukuh sepanjang masa’. Latihan itu yang turut diikuti oleh tentera Mongolia, telah dikecam oleh NATO sebagai satu latihan bagi ‘konflik bersekala besar’.

Latihan tentera itu diadakan pada masa ketegangan semakin meningkat di antara Moscow dan Barat berhubung tuduhan Rusia campur tangan dalam hal ehwal Barat dan konflik berterusan di Ukraine dan Syria. – AFP