Rusia anjur perarakan tentera Perang Dunia II

MOSCOW, 24 JUN – Presiden Rusia Vladimir Putin berkata hari ini dunia terhutang budi kepada Kesatuan Soviet atas sumbangannya kepada kekalahan Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua (WWII).

Pemimpin Rusia itu mengeluarkan komen tersebut pada awal perarakan tentera di Dataran Merah di Moscow sempena ulang tahun ke-75 kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua.

“Adalah mustahil untuk membayangkan apa yang akan berlaku kepada dunia sekiranya Tentera Merah tidak membantu mempertahankannya,” kata Putin dalam ucapan kepada ribuan tentera yang berkumpul untuk mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kemenangan tahunan.

Tentera Soviet ‘membebaskan negara Eropah daripada penceroboh, menamatkan tragedi Holocaust, menyelamatkan rakyat Jerman daripada fahaman Nazi, daripada ideologi mereka,” kata Putin.

“Tugas kami adalah mengingatkan peristiwa ini,” kata beliau dalam ucapan, menggesa warga Rusia mengingatkan bahawa bebanan utama perjuangan menentang fahaman Nazi telah terjatuh pada Kesatuan Soviet.

Presiden Rusia terpaksa menangguhkan perayaan Hari Kemenangan pada 9 Mei disebabkan pandemik koronavirus, namun ia merupakan acara besar-besaran pertama yang dianjurkan oleh Kremlin selepas ia melonggarkan langkah lockdown.

Perarakan tahun ini, menandakan 75 tahun sejak kekalahan Nazi Jerman oleh Kesatuan Soviet memaparkan 14,000 tentera dari 13 buah negara, serta peralatan terbaik dan perkakasan tentera terbaharu menunjukkan keupayaan pertempuran Rusia.

Dalam dua dekad menjadi presiden, Putin telah menggunakan warisan kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua untuk merangsang sentimen patriotik dan sokongan terhadap kerajaannya.

Sebelum perarakan, beliau mengecam Barat kerana ‘menghina Rusia’ dengan meremehkan peranan USSR dalam memenangi peperangan itu. – AFP

Kereta kebal T-34 era Perang Dunia Kedua Soviet bergerak di Dataran Merah semasa perarakan tentera di Moscow kelmarin. – AFP