MOSCOW, 28 Sept – Rusia dan Amerika Syarikat (AS) semalam bersetuju untuk bekerjasama mengenai projek pimpinan NASA untuk membina stesen angkasa bulan pertama, sebahagian daripada projek jangka panjang untuk menghantar manusia ke Planet Marikh.
Agensi angkasa lepas AS berkata pada awal tahun ini ia sedang meninjau program bergelar “Pintu Masuk Angkasa Lepas”, satu projek pelbagai peringkat untuk meninjau lebih lanjut sistem solar. Projek tersebut menjangka membina sebuah pelabuhan angkasa yang dikawal oleh kru di orbit bulan yang akan berfungsi sebagai “pintu masuk ke angkasa lepas dan permukaan bulan,” kata NASA.
Satu pangkalan antarabangsa untuk penjelajahan bulan untuk manusia dan robot dan satu persinggahan untuk kapal angkasa lepas merupakan projek utama untuk mengganti Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) bernilai AS$100 bilion, projek angkasa lepas terbesar di dunia setakat ini.
Semalam, agensi angkasa lepas Rusia Roscosmos dan NASA berkata mereka telah menandatangani satu perjanjian kerjasama pada kongres astronautik di Adelaide.
NASA berkata perjanjian mencerminkan wawasan umum kedua-dua agensi untuk penjelajahan manusia.
“Sementara pintu masuk angkasa lepas masih dalam peringkat perumusan konsep, NASA berasa gembira untuk melihat minat antarabangsa yang meningkat untuk beralih kepada angkasa bumi-qamari sebagai langkah seterusnya untuk membangunkan penjelajahan manusia,” Robert Lightfoot penolong pentadbir di ibu pejabat NASA di Washington, dipetik sebagai berkata.
Rusia dan Amerika akan bekerjasama untuk membina sistem yang diperlukan untuk menganjur misi saintifik dalam orbit bulan dan permukaan bulan, kata Roscosmos.
Agensi angkasa lepas Rusia menambah rakan kongsi berkenaan berhasrat “memajukan standard teknikal antarabangsa yang akan digunakan kemudian, terutamanya untuk menubuhkan stesen angkasa lepas di orbit bulan.” – AFP