MOSCOW, 29 Mac – Tuan Rumah Rusia bergelut untuk mengubati luka selepas tewas dua kali berturut-turut di tangan Brazil dan Perancis menjelang Piala Dunia yang akan bermula pada Jun nanti.
Mac merupakan bulan yang perlu dilupakan oleh Stanislav Cherchesov dan para penyokong menaruh harapan yang tinggi untuk menyaksikan pasukan negara melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia buat pertama kalinya sejak era Soviet.
Selepas tewas dua kali, isu perkauman juga sekali lagi menghantui bola sepak Rusia apabila pemain Perancis, Paul Pogba dan Ousmane Dembele menjadi mangsa perkauman semasa perlawanan tempoh hari.
Sementara itu, bulan ini Cherchesov menerima berita buruk apabila dua tonggak pertahanan dan pemain penyerang mengalami kecederaan lutut sekali gus diketepikan dari Piala Dunia.
Ketiadaan ketiga-tiga pemain itu memberi impak kepada prestasi permainan yang tewas 3-0 kepada Brazil pada Jumaat lalu di Moscow dan kekalahan 3-1 di tangan Perancis di Saint Petersburg.

Bintang Perancis, Kylian Mbappe menyebabkan barisan pertahanan Rusia kucar-kacir selepas meledak dua gol dan membuatkan 50,000 penonton tergamam.
Bagaimanapun, penjaga gol veteran Igor Akinfeev menghalang beberapa cubaan sekali gus menghalang Brazil untuk berpesta gol.
“Kecuali Akinfeev dan satu atau dua orang pemain, saya tidak melihat sesiapa sahaja yang beraksi pada tahap yang tinggi di pertandingan seperti Piala Dunia,” kata bekas pengurus Rusia, Oleg Romantsev.
Rusia belum mencatat kemenangan dalam lima perlawanan dan bolos sembilan gol dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Memang tidak dapat dinafikan keputusan perlawanan sebelum ini menentang pasukan yang berkaliber dan termasuk seri 3-3 semasa menentang Sepanyol selepas tewas 1-0 kepada Argentina pada November.
Namun, sebelum ini Rusia sebelum ini mempunyai reputasi yang terbaik apabila bertanding dalam saingan domestik. – AFP