Rusia berjaya lancar satelit tentera

MOSCOW, 25 NOV – Rusia berjaya melancarkan satelit tenteranya ke orbit hari ini yang dipercayai akan menjadi sebahagian daripada sistem amaran awal anti peluru berpandu Kremlin.

Sebuah roket Soyuz membawa objek yang berlepas dari kosmodrom Plesetsk di utara Rusia awal hari ini, kata kementerian pertahanan.

Pada jam 0109 waktu tempatan roket itu telah dilancarkan untuk meletakkan ‘alat angkasa ke orbit bagi kepentingan kementerian pertahanan’, menurut kementerian dalam satu kenyataan yang dibawa oleh agensi berita Interfax.

Ia tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.

Menurut laman web Spaceflightnow, yang meliputi pelancaran-pelancaran kapal angkasa, pelancaran itu mungkin menghantar satelit Tundra.

Rusia sebelumnya telah melancarkan satelit Tundra pada 2015, 2017 dan 2019, menurut Interfax.

Laman web kepakaran Rusia, Space Web berkata trek lapangan pada pelancaran hari ini ‘menyamai misi sebelumnya’ menghantar satelit-satelit bagi sistem amaran peluru berpandu Rusia yang dinamakan Kupol atau kubah.

Didedahkan pada 2019, Kupol direka untuk mengesan pelancaran peluru berpandu balistik dan menjejaknya dari tapak pendaratannya, meskipun konfigurasi sebenar tidak diketahui. – AFP

Roket Soyuz membawa kapal angkasa kargo Progress M-UM bersama modul dok Prichal bagi ISS berlepas dari pad pelancaran di Kazakhstan pada 24 November. – AFP