Rusia bersedia uji vaksin COVID-19

MOSCOW, 8 APRIL – Ketua pusat penyelidikan Rusia memberitahu Presiden Vladimir Putin semalam bahawa makmalnya sudah bersedia untuk memulakan percubaan uji kaji vaksin koronavirus ke atas manusia pada Jun.

Rinat Maksyutov, ketua Pusat Virologi dan Bioteknologi Negeri Vektor, berkata pusatnya mencadangkan percubaan klinikal fasa pertama untuk tiga vaksin mulai 29 Jun, ke atas 180 anggota sukarelawan.

Maksyutov bercakap semasa mesyuarat pautan video di antara Putin dan ketua pusat penyelidikan.

“Kumpulan sukarelawan telah pun ditubuhkan,” beritahunya kepada Putin, menambah ramai orang mahu mengambil bahagian dalam percubaan itu.

“Kami telah menerima lebih daripada 300 permohonan,” kata Maksyutov sambil menambah, ahli sains di kompleks makmal rahsia di Koltsovo luar bandar Siberia Novosibirsk telah menghasilkan beberapa vaksin prototaip.

Ujian sedang dijalankan ke atas tikus, arnab dan haiwan lain untuk menentukan kejayaan pada 30 April, kata beliau.

Vektor merancang kajian pra-klinikal pada 22 Jun sebelum melancarkan ujian terhadap manusia, tambah Maksyutov.

Vektor mempunyai teknologi platform vaksin yang telah diuji ke atas manusia untuk jangkitan lain dan boleh digunakan untuk koronavirus, tambah beliau.

Kompleks makmal Vektor menjalankan penyelidikan senjata biologi rahsia pada era Soviet dan menyimpan stok virus dari Ebola kepada cacar. – AFP