Rusia catat 10,000 kes, 6 hari berturut-turut

MOSCOW, 8 MEI – Rusia hari ini mencatatkan lebih daripada 10,000 kes baharu koronavirus bagi tempoh enam hari berturut-turut, selepas muncul sebagai titik panas baharu pandemik.

Angka kiraan kerajaan menunjukkan 10,669 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam, kurang sedikit berbanding kelmarin dengan 11,231 dan menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang disahkan kepada 187,859 kes.

Negara tersebut turut mencatatkan 98 kematian baharu disebabkan oleh virus, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,723 kematian.

Rusia berada di kedudukan empat tertinggi di Eropah berdasarkan jumlah kes jangkitan, menurut perkiraan AFP, berada di belakang negara-negara yang dilanda epidemik lebih awal: Britain, Itali dan Sepanyol.

Perdana Menteri, Mikhail Mishustin, muncul di kaca televisyen buat kali pertama sejak mengumumkan bahawa dia dijangkiti virus pada 30 April.

Mempengerusikan perjumpaan menerusi video mengenai sokongan veteran Perang Dunia Kedua Rusia, Mishustin kelihatan dalam keadaan sihat tetapi tidak memberikan sebarang komen mengenai keadaannya, meskipun agensi berita Rusia berkata beliau masih berada di hospital.

Kelmarin, datuk bandar Moscow, Sergei Sobyanin mengumumkan untuk melanjutkan perintah berkurung di bandar tersebut, tempat di mana kebanyakan kes tertumpu, sehingga 31 Mei. – AFP

Pekerja menggali kubur untuk mangsa COVID-19 di luar bandar St Petersburg. Rusia mencatatkan lebih dari 10,000 kes baharu koronavirus bagi tempoh enam hari berturut-turut. – AFP