Rusia dakwa hasil vaksin pertama dunia

MOSCOW, 11 OGOS – Rusia mendakwa hari ini ia telah membangunkan vaksin pertama di duniamenawarkan ‘imuniti stabil’ menentang koronavirus, ketika pandemik itu menandakan kesuraman bersejarah dengan 20 juta dijangkiti di seluruh dunia.

Presiden Vladimir Putin berkata seorang anak perempuannya telah menerima inokulasi itu yang digelar ‘Sputnik’ sempena peneroka satelit Soviet 1950an.

Saintis Barat sebelumnya membangkitkan kebimbangan tentang kepantasan pembangunan vaksin Rusia, mengatakan para penyelidik mungkin telah mengambil jalan pintas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia hari ini mengingatkan sebarang kelulusan bagi vaksin Rusia memerlukan kajian data ketat bagi menunjukkan keselamatan dan keefisienannya.

“Saya tahu ia cukup efektif, ia juga memberi imuniti mapan,” kata Putin mengenai vaksin yang dicipta oleh institut penyelidikan Gamaleya yang bekerjasama bersama kementerian pertahanan Moscow.

Rusia berharap akan memulakan pengeluaran pada September dan memulakan pemvaksinan kakitangan perubatan dengan segera.

Kira-kira 20 buah negara asing telah membuat tempahan awal sekitar sebilion dos, menurut dana pelaburan negara itu yang membantu menghasilkan vaksin. Perlumbaan bagi menghasilkan vaksin semakin memuncak ketika negara-negara di seluruh dunia berdepan penularan baharu penyakit itu walaupun mereka cuba untuk memulakan semula ekonomi terjejas akibat sekatan pergerakan awal selama berbulan-bulan bagi mengekang penularan. – AFP