Rusia dakwa ‘maklumat palsu’ rangsang Sekatan baharu

MOSCOW, 9 SEPT – Moscow berkata hari ini bahawa ‘kempen maklumat palsu’ berhubung tuduhan meracun pemimpin pembangkang, Alexei Navalny telah digunakan untuk merangsang sekatan baharu ke atas Rusia.

Moscow mengeluarkan kenyataan selepas menteri-menteri luar G7 mendesak Rusia segera mencari dan mendakwa suspek dalam kejadian meracun Navalny kelmarin, dengan Jerman berkata ia dilakukan menggunakan racun ejen saraf iaitu Novichok.

“Kempen maklumat palsu besar-besaran yang sedang berterusan’ ditujukan untuk ‘melaksanakan sentimen sekatan’ dan tidak berkaitan dengan kesihatan Navalny atau ‘menyiasat sebab sebenar kenapa dia dimasukkan ke dalam hospital’ menurut menteri luar Rusia.

Dalam kenyataannya mengenai tindak balas kepada G7, menteri luar negara turut membidas tuduhan bahawa Jerman, tempat Navalny dipindahkan, enggan mengongsikan hasil penemuan mereka mengenai kes tersebut bersama Moscow.

“Serangan tidak berasas ke atas Rusia diteruskan,” kata menteri dengan ‘mensensasikan’ kes tersebut.

Diplomat-diplomat tertinggi dari demokrasi industri utama mengatakan bahawa Jerman memberi penerangan kepada mereka dengan pengesahan bahawa pengkritik terkemuka Presiden Valdimir Putin telah diracun. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat dan termasuk Setiausaha Negara, Mike Pompeo.

Negara-negara lain G7 ialah Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun. Rusia telah dikeluarkan dari Kumpulan Lapan selepas penaklukannya ke atas Crimea dari Ukraine pada 2014. Navalny, seorang peguam berusia 44 tahun yang menjadi pengkritik utama Putin, secara tiba-tiba mengalami penyakit serius bulan lalu ketika dalam penerbangan di Siberia.

Hospital Berlin yang merawatnya berkata pada Isnin bahawa dia telah sedar daripada koma dan memberi reaksi. – AFP