Rusia dilanda ribut ais

VLADIVOSTOK, RUSIA, 20 NOV – Ribut ais pelik berikutan fenomena cuaca luar biasa telah meninggalkan 150,000 orang tanpa bekalan air dan elektrik di bandar jauh timur Vladivostok di Rusia dan mendorong kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat.

Cuaca luar biasa menumbangkan kabel dan pokok dengan kerajaan rantau Primorsky mengumumkan keadaan darurat.

“Situasi dengan bekalan elektrik masih amat rumit, pemusnahan adalah amat luas,” kata penolong ketua pentadbiran serantau Elena Parkhamenko.

“Beliau berkata ia mungkin mengambil ‘beberapa hari’ sebelum bekalan elektrik dipulihkan.

Hujan dingin mula melanda bandar yang dihuni kira-kira 600,000 penduduk semalaman selepas siklon yang membawa udara panas bertemu dengan antisiklon yang membawa udara sejuk, kata Boris Kubay, pegawai perkhidmatan cuaca tempatan.

Beliau berkata di sesetengah tempat ais yang terhasil adalah 12 milimeter tebal – sesuatu yang belum pernah dilihat di rantau itu dalam 30 tahun.

Gambar video dari kamera keselamatan menunjukkan seorang lelaki keluar dari keretanya pada saat-saat akhir ketika dia membersihkan ais dari cermin besar kereta sebelum satu bongkah terhempas jatuh dari tepi sebuah bangunan. – AFP