Rusia dituduh godam kajian vaksin

LONDON, 17 JULAI – Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kanada telah menuduh Rusia cuba mencuri kajian penyelidikan vaksin koronavirus tatkala pandemik meletus di seluruh dunia, dengan Brazil mencecah lebih dua juta kes disahkan dan AS mencatat rekod harian baharu.

Virus itu telah membunuh lebih daripada 588,000 orang, menjangkiti lebih daripada 13.7 juta serta melumpuhkan ekonomi global sejak muncul pada akhir tahun lalu, dan harapan dunia telah beralih kepada vaksin untuk menamatkan serangan itu.

Dalam tanda positif terbaharu, media Britain melaporkan semalam bahawa percubaan Universiti Oxford telah menunjukkan prototaip vaksinnya berjaya menghasilkan respons ketahanan terhadap COVID-19.

Namun beberapa jam kemudian, Pusat Keselamatan Siber UK berkata satu kumpulan penggodam bernama APT29 telah menyasarkan makmal Britain yang menjalankan penyelidikan vaksin untuk ‘mencuri harta intelektual berharga.’

Agensi itu berkata ia ‘hampir pasti APT29 membentuk sebahagian daripada perkhidmatan risikan Rusia dan sasarannya ke atas penyelidik ‘kemungkinan besar bertujuan mengumpul maklumat mengenai kajian penyelidikan vaksin COVID-19.’

AS, Britain dan Kanada menuduh Rusia dalam satu nasihat keselamatan bersama.

Moscow menafi terlibat, dengan jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata: “Rusia tidak mempunyai kaitan dengan percubaan berkenaan.”

Perbalahan meletus tatkala jumlah kes jangkitan yang semakin meningkat di Brazil dan AS, dua negara paling teruk terjejas di dunia, menekankan keperluan mendesak untuk mendapatkan vaksin. – AFP

Seorang pekerja perubatan memegang sampel swab di pusat perubatan di Moscow pada 16 Jun 2020 tatkala ibu negara Rusia menyediakan ujian percuma COVID-19 kepada penduduknya. – AFP