HELSINKI, 22 MEI – Rusia telah menggantung eksport gas ke negara jiran Finland semalam, tindakan yang amat simbolik yang diambil beberapa hari selepas negara Nordic itu mengumumkan ia ingin menyertai NATO dan menandakan kemungkinan berakhirnya import gas asli selama 50 tahun dari Rusia.
Langkah yang diambil oleh syarikat tenaga Rusia Gazprom itu adalah sejajar dengan pengumuman sebelumnya berikutan keengganan Helsinki membayar gas dalam mata wang ruble seperti yang dituntut oleh Presiden Rusia Vladimir Putin bagi negara-negara Eropah sejak Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari.
Syarikat gas milik kerajaan Finland Gasum berkata ‘bekalan gas asli ke Finland di bawah kontrak bekalan Gasum telah dibatalkan’ oleh Rusia pagi semalam.
Pengumuman itu menyusuli keputusan Moscow uAntuk menggantung eksport elektrik ke Finland pada awal bulan ini dan keputusan sebelumnya oleh syarikat minyak Finland Neste untuk mengganti import minyak mentah Rusia dengan minyak mentah dari negara lain.
Selepas menjalin kerjasama tenaga yang memanfaatkan kedua-dua negara, hubungan tenaga Finland dengan Rusia kini telah terputus.
Gasum berkata sekarang ia akan membekal gas asli kepada pelanggannya dari sumber lain menerusi saluran paip dasar laut Balticonnector yang menganjur dari Finland dan Estonia dan menghubungkan grid gas Finland dan Baltik.
Matti Vanhanen, bekas perdana menteri dan speaker parlimen Finland, berkata keputusan Moscow untuk memutuskan gas selepas hampir 50 tahun sejak penghantaran pertama dari Kesatuan Soviet memberikan kesan teruk dan menandakan berakhirnya tempoh amat penting di antara Finland, Kesatuan Soviet dan Rusia, bukan sahaja dari segi tenaga tetapi juga kerana ia bersifat simbolik.’
“Saluran paip itu tidak mungkin dibuka lagi,” beritahu Vanhanen kepada YLE, merujuk kepada dua saluran paip asli Rusia-Finland yang dilancarkan pada 1974. – AFP