Rusia hasilkan kelompok pertama vaksin COVID-19

MOSCOW, 16 OGOS – Rusia berkata semalam ia telah menghasilkan kelompok pertama vaksin koronavirus, selepas Presiden Vladimir Putin mengumumkan ia telah menjadi negara pertama di du-nia yang meluluskan vaksin tersebut.

Pengumuman Putin pada Selasa lalu mengenai vaksin tersebut diterima dengan waswas oleh ahli sains dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berkata ia masih memerlukan kajian keselamatan.

“Kelompok pertama vaksin koronavirus yang dibangunkan oleh institut penyelidikan Gamaleya telah dihasilkan,” kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Rusia.

Putin berkata vaksin itu selamat dan salah seorang anak perempuannya telah divaksinkan, walaupun percubaan klinikal masih belum selesai dan peringkat akhir ujian membabitkan lebih 2,000 orang hanya bermula pada minggu ini.

Saintis Barat berasa ragu-ragu, dengan sesetengahnya mengingatkan bertindak terlalu cepat mengenai vaksin mungkin menimbulkan kesan serius, namun Rusia mengecam kritikan tersebut sebagai satu percubaan untuk melemahkan penyelidikan Moscow.

Vaksin Rusia diberi nama ‘Sputnik V’ sempena satelit era Soviet yang pertama dilancarkan di angkasa lepas pada 1957.

Rusia berkata pengeluaran industri dijangka bermula pada September dan ia merancang menghasilkan 5 juta dos sebulan pada Disember atau Januari. – AFP