Rusia kesan jangkitan Omicron BA.4

MOSCOW, 12 JUN – Subvarian COVID Omicron yang lebih mudah menular telah merebak di Rusia, lapor Sputnik, memetik kenyataan pegawai kanan di badan pemerhati kesihatan kebangsaan, Rospotrebnadzor.

Ketua penyelidikan genom di Institut Penyelidikan Pusat Epidemiologi, Ros-potrebnadzor, Kamil Khafizov, memberitahu pemberita bahawa dua makmal kebangsaan telah menyerahkan sampel genom virus jenis BA.4 ke pangkalan data VGARus.

“Sampel diperoleh pada akhir Mei,” kata Khafizov. Walau bagaimanapun, saintis itu memaklumkan subvarian BA.2 masih menyumbang 95 peratus daripada semua kes baharu di Rusia.

“Beberapa kajian yang diterbitkan baru-baru ini mendedahkan subvarian yang dikenali sebagai BA.4 dan BA.5, lebih mudah berjangkit berbanding Omicron asal,” katanya. Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran pada Mei bahawa Omicron BA.4 dan BA.5 mendorong peningkatan kes di negara dengan kadar pemberian vaksin rendah, meskipun subvarian BA.2 kekal dominan di seluruh dunia. – Bernama