MOSCOW, 5 MEI – Tentera Rusia memulakan latihan simulasi serangan peluru berpandu berkeupayaan nuklear di barat enklaf Kaliningrad, negara itu semalam.
Latihan itu dilakukan di tengah-tengah kempen ketenteraan Rusia di Ukraine dan pengumumannya dibuat pada hari ke-70, yang menyaksikan ribuan nyawa terbunuh dan hampir 13 juta orang kehilangan tempat tinggal dalam krisis pelarian terburuk di Eropah sejak Perang Dunia kedua.
Selepas mengerahkan tenteranya ke Ukraine pada akhir Februari lalu, Presiden Vladimir Putin, membuat ancaman halus dan memberi bayangan terhadap kesediaannya menggunakan senjata nuklear taktikal Rusia.
Kementerian Pertahanannya dalam satu kenyataan, berkata ketika latihan perang yang dijalankan di laut Baltic di antara negara ahli Kesatuan Eropah (EU) Poland dan Lithuania, Rusia mengadakan simulasi pelancaran elektronik sistem peluru berpandu balistik berkeupayaan nuklear mudah alih Iskander.
“Selepas pelancaran elektronik, anggota tentera melakukan gerakan menukar kedudukan bagi mengelak kemungkinan serangan balas.
“Unit pertempuran turut melakukan latihan aksi dalam keadaan pencemaran radiasi dan kimia,” katanya. – AFP