MOSCOW, 1 JULAI – Pihak berkuasa kesihatan Rusia hari ini melancarkan vaksinasi booster untuk mereka yang dijangkiti COVID-19 atau telah terima vaksin lebih enam bulan lalu, dalam usaha yang diadakan di tengah peningkatan dalam jangkitan dan kematian baharu.
Datuk bandar Moscow Sergei Sobyanin berkata beliau telah menerima suntikan booster dan menggesa penduduk bandar supaya melakukan yang sama.
“Memandangkan situasi epidemiologi yang sukar hari ini, doktor menyarankan pemberian suntikan booster enam bulan selepas vaksinasi,” kata Sobyanin di blognya.
“Saya merayu kepada anda supaya jangan melepaskan peluang untuk mendapatkan perlindungan tambahan daripada virus, yang amat penting di tengah penularan varian delta yang lebih agresif.”
Pihak berkuasa kesihatan Moscow hari ini mula menawarkan suntikan booster dengan vaksin keluaran tempatan, dua dos suntikan Sputnik V dan versi satu dos Sputnik Light. Rantau lain Rusia juga mula menawarkan suntikan booster.
Menteri Kesihatan Mikhail Murashko memberitahu mesyuarat kerajaan pada Selasa bahawa kementerian telah mengeluarkan garis panduan membenarkan mereka yang dijangkiti COVID-19 menerima suntikan enam bulan selepas mereka sembuh, dan mereka yang telah diinokulasi mendapatkan dos booster enam bulan selepas suntikan vaksin pertama mereka. – AP