Rusia lancar vaksinasi minggu depan

MOSCOW, 13 JAN – Presiden Rusia Vladimir Putin hari ini menugaskan pegawai untuk melancarkan vaksinasi koronavirus besar-besaran mulai minggu depan, menganggap suntikan keluaran Rusia sebagai yang terbaik di dunia.

“Saya minta anda semua supaya memulakan vaksinasi besar-besaran ke atas semua penduduk pada minggu depan,” beritahu Putin kepada pegawai pada mesyuarat kerajaan.

“Vaksin Rusia adalah yang terbaik di dunia,” kata beliau.

Rusia pada Ogos mendaftar vaksin Sputnik V, dinamakan sempena satelit era Soviet, beberapa bulan di depan pesaing Barat dan sebelum bermulanya percubaan klinikal secara besar-besaran.

“Syukurlah vaksin kami tidak memerlukan keadaan ekstrem semasa penghantaran,” kata Putin.

“Ia lebih senang dan lebih efektif,” tambahnya, merujuk kepada suntikan vaksin buatan Barat.

Putin berkata Rusia harus ‘menyediakan infrastruktur yang relevan’ untuk merangsang pengeluaran vaksin, yang sedang dipromosi oleh Moscow kepada negara lain sebagai lebih murah dan lebih senang untuk dihantar berbanding vaksin lain.

Timbalan Perdana Menteri Tatyana Golikova memberitahu Putin semasa mesyuarat bahawa Rusia bersedia melancarkan vaksinasi besar-besaran mulai Isnin ini.

Negara itu telah dibelenggu gelombang kedua jangkitan koronavirus dalam beberapa bulan ini tetapi Kremlin telah menangguhkan sekatan seperti yang diperkenalkan pada awal pandemik. – AFP

Presiden Rusia VladimirPutin mempengerusikan mesyuarat kerajaan menerusi persidangan video di kediaman Novo-Ogaryovo di luar Moscow kelmarin. – AFP