Saturday, January 25, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia menang bergaya

    SAINT PETERSBURG, 20 Jun – Pasukan tuan rumah, Rusia, selangkah ke pusingan kedua Piala Dunia selepas kemenangan bergaya 3-1 ke atas Mesir awal pagi tadi, meskipun kembalinya Mohamed Salah dari kecederaan.

    Selepas separuh masa pertama yang sengit di Saint Petersburg, kapten Mesir, Ahmed Fathi menjaringkan gol sendiri sebelum ledakan Denis Cheryshev dan Artem Dzyuba memastikan satu kemenangan, yang memadam kebimbangan bahawa Rusia bergelut untuk melepasi peringkat kumpulan.

    Salah menjaringkan gol pertama Mesir di Piala Dunia sejak 1990 dengan penalti selepas dia dijatuhkan ketika perlawanan berbaki 17 minit, tetapi ia sudah terlewat bagi meraih momentum untuk menyelamatkan Mesir.

    Rusia dipastikan slot di peringkat 16 terakhir dan Mesir tersingkir, jika Arab Saudi gagal menewaskan Uruguay lewat hari ini.

    Ditanya adakah ini detik yang paling mengembirakannya, jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov berkata, “Saya harap lebih banyak detik seperti ini nanti.

    Penjaring gol ketiga Rusia, Dzyuba (tengah, 22) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam kemenangan Rusia ke atas Mesir di St Petersburg. – AP

    “Kami melangkah ke pusingan seterusnya dan kini perlu melihat bagaimana kami mempersiapkan diri untuk cabaran seterusnya. Kami perlu melakukan kerja rumah,” tambahnya.

    Salah membuat penampilan pertamanya sejak mengalami kecederaan bahu kiri selepas dijatuhkan oleh kapten Real Madrid, Sergio Ramos dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara tiga minggu lalu.

    Rusia membelasah Arab Saudi dengan jaringan 5-0 dalam pembukaan Piala Dunia minggu lepas, namun Mesir dijangka memberikan lebih banyak cabaran.

    Tetapi selepas Fathi menjaringkan gol sendiri, Cheryshev yang penuh bersemangat meledakkan gol ketiganya di kejohanan itu, meletakkannya di kedudukan kedua dibelakang Cristiano Ronaldo dalam carta penjaring terbanyak setakat ini.

    Jaringan ketiga menerusi Dzyuba telah mencetuskan sorakan besar penyokong di stadium yang berkapasiti 65,000 itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda