MOSCOW, 30 JUN – Rusia hari ini mula menghantar bijirin dari kawasan yang ditakluki di Ukraine, dengan sebuah kapal membawa kira-kira 7,000 tan bijirin telah membuat perjalanan dari pelabuhan Berdyansk di Ukraine.
Kyiv selama berminggu-minggu menuduh Rusia dan sekutunya mencuri bekalan bijirinnya dari selatan Ukraine, yang mengakibatkan kekurangan makanan di seluruh dunia kerana pengeksportan bijirin disekat di pelabuhan Ukraine.
Kyiv berkata sehingga kini penghantaran hanya dilakukan melalui jalan darat.
Penghantaran bijirin yang dibuat hari ini dari pelabuhan Berdyansk menandakan pembukaan laluan laut bagi pengeksportan gandum dari Ukraine ke tiga buah negara.
“Selepas penundaan selama berbulan-bulan, penghantaran pertama meninggalkan pelabuhan komersial Berdyansk, membawa 7,000 tan bijirin menuju tiga buah negara,” kata Evgeny Balitsky, ketua pentadbiran pro-Rusia, melalui Telegram.

Kapal-kapal di Laut Hitam di Rusia memberi ‘jaminan keselamatan’ ketika membuat perjalanan, dan menambah pelabuhan Ukraine telah ditinggalkan.
Namun Balitsky tidak menyatakan destinasi terakhir kargo tersebut.
Berdyansk adalah sebuah pelabuhan di bandar pesisir Laut Azov di utara, di rantau Zaporizhizhia di tenggara Ukraine.
Wilayah selatan Ukraine di Kherson dan Zaporizhizhia sebahagian besarnya dikawal oleh Rusia sejak beberapa minggu pertama campur tangan ketenteraan Moscow, dan kini diserapkan ke dalam ekonomi Rusia.
Pegawai-pegawai pro Moscow di dua rantau Ukraine mendakwa mereka telah ‘memindahkan’ infrastruktur dan harta negeri itu dan membeli tanaman dari peladang tempatan.
Sementara itu, seorang wakil daripada pihak berkuasa pro Moscow, Vladimir Rogov, memberitahu agensi berita negara RIA Novosti, bahawa 1.5 juta tan bijirin boleh dieksport melalui Berdyansk. – AFP