Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Rusia musnahkan gudang senjata NATO di barat Ukraine

    MOSCOW, 15 JUN – Rusia kelmarin memberitahu bahawa tenteranya telah memusnahkan depoh yang mengandungi senjata yang dibekalkan NATO di barat Ukraine ketika Presiden Volodymyr Zelensky menggesa sekutu Barat untuk mempercepatkan penghantaran senjata ke negaranya.

    “Berhampiran bandar Zolochiv di wilayah Lviv, peluru berpandu Kalibr jarak jauh ketepatan tinggi memusnahkan depoh peluru senjata asing yang dipindahkan ke Ukraine oleh negara NATO, termasuk howitzer M777 155 mm,” kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan.

    Ukraine berkata pada Selasa lalu bahawa ia menerima hanya 10 peratus daripada senjata yang diminta daripada Barat bagi menghalang campur tangan tentera Rusia. Tentera Rusia kini menumpukan serangan mereka di hab perindustrian penting Severodonetsk sebagai sebahagian daripada usaha untuk menawan sebahagian besar kawasan timur Ukraine.

    Terdahulu, bekas presiden Rusia, Dmitry Medvedev mencadangkan bahawa Ukraine mungkin tidak akan wujud selepas tempoh dua tahun.

    “Saya melihat laporan bahawa Ukraine mahu menerima LNG (gas asli cecair) di bawah perjanjian pajakan pinjaman daripada pemiliknya di luar negara dengan bayaran bagi penghantaran dalam dua tahun,” tulis timbalan ketua Majlis Keselamatan, Medvedev dalam Telegram.

    “Dan siapa yang mengatakan bahawa dalam dua tahun Ukraine akan masih wujud di peta dunia?” tambahnya lagi.

    Sementara itu, presiden Ukraine telah merayu bagi mendapatkan senjata berat dari Barat, mengkritik ‘tingkah laku terkawal’ beberapa orang pemimpin Eropah yang katanya telah “melambatkan bekalan senjata dengan terlalu lama”. – AFP

    Sisa-sisa kereta kebal yang musnah kelihatan di tepi jalan Lypivka, di pinggir Kyiv, Ukraine, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...