Rusia perlu perbaiki prestasi hambar

MOSCOW, 12 Jun – Jangkaan Rusia sebagai pasukan tuan rumah Piala Dunia agak rendah. Ia merupakan pasukan yang mempunyai ranking paling rendah dalam kejohanan, menurut FIFA, namun ia berada dalam kumpulan yang agak mudah.

Apabila Rusia memenangi hak untuk menganjurkan Piala Dunia lapan tahun lalu, pasukan itu disinari dengan potensi selepas mara ke separuh akhir Euro 2008. Namun ia mara ke Piala Dunia dengan tujuh perlawanan tanpa kemenangan.

Meskipun mempunyai penduduk paling ramai di Eropah dan kaya dengan sejarah bola sepak, Rusia kekal menjadi gergasi tidur. Manakala jurulatih Stanislav Cherchesov pula bertanggungjawab atas beberapa keputusan hambar.

Peluang terbaik Rusia bagi memenangi perlawanan pertama Piala Dunia sejak 2002 adalah dengan memenangi perlawanan pembukaan menentang Arab Saudi, pasukan ranking kedua terendah di kejohanan itu.

Kecederaan Mohamed Salah mungkin membantu peluang Rusia dalam perlawanan kedua Kumpulan A menentang Mesir, sebelum ujian getir berhadapan Uruguay.

Kapten Rusia, Igor Akinfeev ketika menjalani sesi latihan bersama skuad Rusia. Arab Saudi akan menjadi ujian pertama Rusia dalam aksi pembukaan Piala Dunia Khamis ini. – AFP

Meskipun Rusia berjaya melepas peringkat kumpulan, mereka kemungkinan besar disambut oleh Sepanyol atau Portugal dalam pusingan kedua.

Jurulatih

Cherchesov sudah cuba menyegarkan pasukannya, antara yang tertua semasa Euro 2016.

Bekas penjaga gol antarabangsa itu menjadikan beberapa orang pemain tengah muda, Roman Zobnin dan Aleksandr Golovin, sebagai pemain utama pasukan, namun dia masih belum diberikan sebarang kemenangan.

Kecederaan juga menjadi isunya bagi formasi tiga pertahanannya, di mana dia menukar kepada formasi empat pertahanan dalam kekalahan 1-0 aksi persahabatan kepada Austria pada 30 Mei.

Penjaga gol

Kapten Rusia, Igor Akinfeev, menjadi terkenal selepas penjaga gol itu melakukan beberapa aksi menyelamat menakjubkan dalam laluan pasukan itu ke separuh akhir Euro 2008.

Ramalan perpindahan mewah tidak pernah tercapai dan dia telah menghabiskan sebahagian besar kerjanya di CSKA Moscow. Namun dia ada kebiasaan melakukan kesilapan dalam perlawanan-perlawanan besar, termasuk kesilapan memalukan yang membolehkan Korea Selatan menjaringkan gol pada Piala Dunia 2014.

Barisan pertahanan

Kecederaan telah menimpa barisan pertahanan Rusia dengan teruk, di mana kedua pertahanan tengah harapan, Viktor Vasin dan Georgy Dzhikiya masing-masing mengalami kecederaan lutut.

Pengganti mereka, Ilya Kutepov dan Vladimir Granat masih bergelut dan kedua-duanya dilihat telah melakukan beberapa kesilapan dalam beberapa aksi persahabatan kebelakangan ini.

Barisan tengah

Zobnin dan Golovin merupakan bakat utama Rusia yang menonjol. Golovin, pemain kreatif bagi CSKA Moscow, dilihat tergamam di Euro 2016 namun kini mempunyai pengalaman secukupnya, bahkan mempamerkan permainan bertenaga dalam keputusan seri 1-1 dengan Turki baru-baru ini.

Cherchesov masih belum memilih pemain tengah bertahan tetap, yang kerap memaksa Zobnin bermain lebih bertahan. Pemain perancang, Alan Dza-goev, pernah dianggap sebagai bakat muda paling menyerlah di Eropah, tetapi kini sudah berusia 27 tahun, mungkin ini saatnya dia memberikan impak bermakna di peringkat antarabangsa.

Barisan penyerang

Pilihan Rusia di bahagian serangan sangat terjejas apabila Alexander Kokorin diketepikan kerana kecederaan lutut.

Fyodor Smolov, penjaring terbanyak liga Rusia dalam tempoh tiga musim berturut-turut, menjadi pilihan jelas menerajui serangan, sementara Artyom Dzyuba menjadi penggantinya. Kembar Alexei dan Anton Miranchuk boleh beroperasi dengan baik sebagai penyerang kedua atau di bahagian sayap.

Kumpulan A

Pasukan tuan rumah akan memulakan kempen mereka semasa pembukaan kejohanan menentang Arab Saudi pada 14 Jun di Moscow, kemudian berdepan dengan Mesir pada 20 Jun dan Uruguay pada 25 Jun. – AP