Rusia rayu untuk sertai pertandingan antarabangsa

MOSCOW, 20 DIS – Agensi anti-doping Rusia, RUSADA mengambil keputusan untuk mengemukakan rayuan berhubung keputusan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) melarang negara itu menyertai pertandingan utama di peringkat antarabangsa, lapor agensi berita Xinhua.

Pada 9 Disember, Jawatankuasa Eksekutif WADA mengenakan larangan ke atas Rusia menyertai acara sukan antarabangsa selama empat tahun.  Lembaga penyelia RUSADA tidak bersetuju dengan keputusan WADA dan menurut laporan agensi berita Rusia TASS kes itu akan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Langkah itu diambil selepas WADA mendapati Moscow telah memanipulasi data makmal yang diserahkan kepada agensi penyiasatnya pada Januari.

Larangan itu bermakna bendera dan lagu kebangsaan Rusia tidak akan dibenarkan pada acara termasuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Piala Dunia 2022 di Qatar. – Bernama