Sunday, February 5, 2023
23.7 C
Brunei

-

Rusia sambung semula bekalan gas Eropah

BERLIN, 21 JULAI – Rusia telah menyambung semula bekalan gas penting ke Eropah menerusi Jerman hari ini, pembukaan semula saluran paip gas Nord Stream selepas 10 hari, tetapi masih lagi tidak dapat dipastikan jika benua itu dapat mengelak daripada berdepan dengan krisis tenaga musim sejuk ini.

“Ia berfungsi semula,” kata jurucakap Nord Stream, tanpa menyatakan jumlah pengeluaran gas tersebut.

Kerajaan Jerman sebelum ini khuatir jika Moscow tidak akan membuka semula saluran paip itu selepas tugas penyelenggaraan selesai.

Ia percaya Rusia menyekat bekalannya sebagai tindak balas terhadap sekatan dikenakan oleh Barat kerana pencerobohan Moscow ke atas Ukraine. Menurut data yang disediakan oleh syarikat tenaga gergasi yang dimiliki Rusia, Gazprom kepada syarikat yang mengendalikan saluran itu, Gascade, bahawa sebanyak 530 gigawatt per jam akan dihantar pada hari tersebut.

Ia hanya 30 peratus daripada kapasitinya, kata presiden pengawal atur tenaga Jerman dari Agensi Rangkaian Persekutuan, Klaus Mueller dalam akaun Twitter.

Gambar fail menunjukkan saluran paip gas Nord Stream 1 semasa majlis pelancarannya di Lubmin, Jerman, 8 November 2011. – AFP

Gazprom telah menyekat pengeluaran bekalannya ke Jerman melalui saluran paip Nord Stream 1 sekitar 40 peratus dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menyalahkan ketiadaan peralatan turbin gas Siemens semasa ia diselenggarakan di Kanada.

Namun, kerajaan Jerman menolak penjelasan Gazprom.

Saluran paip Nord Stream 1 yang berada di bawah Laut Baltic telah ditutup sejak 11 Julai lalu untuk menjalani penyelenggaraan tahunan. Tetapi penyambungan semula bekalan sebanyak 40 peratus tidak akan mencukupi untuk mengatasi krisis tenaga di Eropah semasa musim sejuk ini, menurut pakar.

Suruhanjaya Eropah kelmarin menggesa negara-negara Kesatuan Eropah (EU) untuk mengurangkan permintaan gas asli sebanyak 15 peratus untuk tempoh beberapa bulan akan datang bagi menjamin bekalan tenaga semasa musim sejuk mencukupi dan sekali gus mengatasi ugutan Rusia.

Semasa mengumumkan pelan kecemasan, pesuruhjaya EU juga meminta negara-negara ahli untuk memberikan kuasa khas kepada Brussels untuk mengenakan catuan bekalan tenaga jika Rusia menghentikan bekalan gas Eropah. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Bekas Menteri dijatuhi hukuman penjara 2 tahun

SEOUL, KOREA SELATAN, 3 FEB - Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada bekas Menteri Kehakiman, Cho Kuk, selepas dia...
- Advertisment -