MOSCOW, 21 APRIL – Presiden Vladimir Putin berkata hari ini Rusia berhasrat mencapai imuniti kelompok terhadap koronavirus menjelang musim luruh ini dan mengalu-alukan pembangunan tiga vaksin oleh negaranya.
“Vaksinasi adalah amat penting sekarang untuk membenarkan imuniti kelompok dicapai pada musim luruh,” kata Putin semasa ucapan tahunan kepada negara.
“Saintis kami telah mencatat kejayaan besar. Kini Rusia mempunyai tiga vaksin yang boleh dipercayai ke atas koronavirus,” tambah beliau.
Pemimpin berusia 68 tahun itu menerima suntikan dos kedua pada minggu lalu tanpa menyatakan vaksin yang mana satu – Sputnik V, EpiVacCorona atau CoviVac – yang telah diberikan kepada beliau.
Hari ini, beliau mengulang lagi rayuan menyeru semua warga Rusia untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Saya merayu kepada semua rakyat Rusia: dapatkan vaksin. Inilah satu-satunya cara di mana kami boleh menghapus penyakit ini,” kata beliau.
Meskipun memulakan kempen vaksinasi pada awal Disember di depan kebanyakan negara. Rusia telah bergelut untuk memvaksinkan semua rakyatnya.
Ramai warga Rusia berasa was-was mengenai vaksin, dengan tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan kurang satu pertiga daripada penduduk rela menerima suntikan.
Timbalan Perdana Menteri Tatiana Golikova berkata minggu lalu lebih lapan juta daripada 144 juta penduduk Rusia telah menerima suntikan vaksin setakat ini. – AFP