KYIV, UKRAINE, 4 OGOS – Satu kejadian letupan menggegarkan bandar raya Mykolaiv di selatan Ukraine dan di sebuah bandar berdekatan loji kuasa nuklear terbesar negara yang diserang oleh rentetan peluru Rusia, kata pejabat Presiden Ukraine dalam satu kenyataan.
Sekurang-kurangnya empat orang awam terbunuh dan 10 cedera sementara sembilan wilayah diserang, kata jurucakap pejabat tersebut.
Tentera Rusia telah melancarkan 60 peluru berpandu terhadap Nikopol, di tengah-tengah wilayah Dnipropetrovsk. Kira-kira 50 bangunan awam musnah di bandar yang didiami 107,000 penduduk. Sementara itu, serangan tersebut juga menyebabkan penduduk bandar terputus bekalan tenaga elektrik setelah stesen elektrik turut musnah.
Pakar di sebuah institut di Amerika Syarikat mendakwa serangan tersebut sengaja dilakukan bagi membuat Ukraine berada dalam situasi genting.
Sementara itu, pihak berkuasa Ukraine mendakwa seorang datuk bandar telah menjadi tawanan Rusia setelah enggan bekerjasama dengan pihak Rusia di selatan wilayah Kherson. – AP