MOSCOW, 10 Jan – Rusia semalam berkata beberapa siri serangan dron kebelakangan ini di pangkalan tenteranya di Syria mungkin telah dibantu dari negara yang memiliki teknologi pemanduan arah satelit – satu kenyataan yang nampaknya ditujukan ke arah AS.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata pasukannya telah menangkis beberapa siri serangan dron Sabtu lalu di pangkalan udara Hemeimeem dan pangkalan tentera laut di Tartus, dengan menambah bahawa dari 13 dron yang terlibat, tujuh telah ditembak jatuh dan enam lagi dipaksa untuk mendarat tanpa menyebabkan sebarang kerosakan.
Tanpa menyalahkan mana-mana negara secara khusus, kementerian itu berkata data bagi serangan hanya boleh diperoleh “dari salah sebuah negara yang memiliki pengetahuan dalam pemanduan arah satelit.”
Dalam kenyataan semalam, ia menyatakan ‘kebetulan yang aneh’ pesawat udara perisikan tentera AS yang terbang di ruang udara Mediterranean berdekatan dua buah pangkalan Rusia semasa serangan.

Pentagon telah menafikan sebarang penglibatan mereka.
“Sebarang pendapat bahawa AS atau pasukan bersekutu memainkan peranan semasa serangan ke atas pangkalan Rusia adalah tidak berasas dan benar-benar tidak bertanggungjawab,” menurut Mejar Marin Adrian Rankine-Galloway, jurucakap Pentagon.
AS dan Rusia menyokong pihak-pihak yang bertentangan dalam perang saudara di Syria.
Presiden Rusia Vladimir Putin mengisytiharkan kemenangan di Syria pada bulan lalu dan mengarahkan pengunduran sebahagian pasukan tentera, dan Kremlin berkata lewat kelmarin bahawa bilangan tentera Rusia yang masih berada di Syria adalah mencukupi untuk menangkis sebarang serangan militan. – AP