Rusia tingkat produk halal

SHCHYOLKOVO – Pengurus di sebuah kilang sosej berhampiran dengan Moscow, Arslan Gizatullin mengatakan perniagaan halalnya tidak mendapat keuntungan yang banyak kerana ekonomi Rusia yang lembap namun ramai pesaing berlumba-lumba untuk mendapatkan pasaran Islam yang semakin berkembang.

“Secara umumnya, beberapa tahun kebelakangan ini, halal menjadi suatu trend di Rusia,” kata Gizatullin, yang sudah lama bertugas di kilang Halal-Ash di bandar Shchyolkovo selama tujuh tahun.

Kilang pertama

Kilang itu merupakan antara yang pertama dibuka pada dua dekad yang lalu, dengan mencipta semula sosej gaya Soviet menurut undang-undang Islam bersama produk-produk lain.

“Sekarang saya pergi ke kedai yang memaparkan beberapa dua dan tiga produk sosej daripada pengeluaran yang berbeza… Saya telah melihat persaingan semakin meningkat,” katanya semasa di kilangnya itu, yang mempunyai seramai 35 orang pekerja dan membuat 1.5 tan pengeluaran dalam masa sehari.

Ekonomi halal bernilai lebih AS$2.1 trilion di seluruh dunia, sangat terhad bagi produk daging.

Syarikat-syarikat kosmetik dan perkhidmatan seperti hotel-hotel halal mempunyai lesen daripada badan-badan yang mengawasi pengeluaran produk Islam di Rusia, sementara itu, Sberbank milik kerajaan sedang mencari cara untuk menubuhkan entiti kewangan Islam.

Rushan Abbyasov, Timbalan Ketua Majlis Mufti semasa temu bual bersama AFP di masjid utama Moscow. – AFP

Perkembangan syarikat halal

Pusat Penyeragaman dan Persijilan Halal di bawah pihak kerajaan Majlis Mufti Rusia, telah meluluskan lebih daripada 200 buah syarikat sejak ia dibuka pada tahun 2007.

Pusat itu menyatakan jumlah syarikat itu telah meningkat daripada lima hingga tujuh buah syarikat dalam masa setahun.

Rushan Abbyasov, timbalan ketua Majlis Mufti memberitahu kepada AFP bahawa kementerian pertanian Rusia telah menyokong pusat ini sebagai satu usaha untuk meningkatkan lagi pengeksportan ke negara-negara Arab dan republik-republik bekas Soviet yang majoriti penduduknya Muslim.

Jadikan contoh

“Kami telah melihat pengalaman antarabangsa di negara-negara Arab, negara Malaysia dan sekarang kami telah membangunkan piawaian sijil halal Rusia mengikut contoh itu,” kata Abbyasov ketika ditemu bual di masjid utama, Moscow.

“Kami telah membuatnya mengikut persamaan standard halal antarabangsa dan undang-undang Persekutuan Rusia.

Tambahan lagi, Mufti Rusia telah memberitahu mengenai pameran tahunan bagi produk-produk halal dan syarikat pengeluaran di majoriti Islam Rusia, republik Tatarstan, di mana pada tahun ini telah menunjukkan keuntungan yang besar, sesuai dijadikan sebagai contoh dalam perkembangan sektor ini.

Beberapa pegawai Tatar memberitahu kepada media Rusia bahawa pasaran makanan halal telah mencapai keuntungan sebanyak AS$110 juta sama seperti lebih tiga peratus daripada hasil jumlah kasar pengeluaran pertanian di rantau ini.

Namun, mereka memberitahu bahawa, sektor ini telah berkembang antara 10 hingga 15 peratus dalam setahun.

Pusat persijilan juga mengatakan keseluruhan ekonomi halal di Rusia juga telah berkembang dalam 15 peratus setiap tahun. Tetapi mereka tidak memberikan angka pecahannya.

Keseluruhan ekonomi Rusia adalah lembap, dengan kerajaan meramalkan pertumbuhan tahun ini hanya 1.3 peratus sahaja tahun ini, selepas 2.3 peratus peningkatan pada 2018.

Alif, sebuah syarikat kosmetik yang berpangkalan di Moscow merupakan syarikat baharu telah maju kehadapan sebagai pengeksport produk halal dari Rusia.

Pengurus Halima Hosman memberitahu kepada AFP bahawa setahun selepas perasmian, produk-produk Alif telah habis dijual di republik-republik Dagestan dan Chechnya, Rusia yang majoriti penduduknya Muslim termasuk bekas Soviet, Uzbekistan dan Kazakhstan.

“Matlamat utama kami adalah untuk mengeksport ke negara Perancis, Turki, Iran dan Arab Saudi,” katanya, dengan menambah, syarikat itu tidak menggunakan sokongan kewangan dari pusat persijilan halal.

Dua dalam satu

Seorang warga Rusia, yang berasal dari keluarga ortodoks Kristian di Selatan Moldova, tetapi telah masuk Islam semasa remajanya mengatakan, mempromosikan produk halal bukan sahaja untuk perniagaan, namun ia lebih daripada itu.

“Itu adalah satu cara bagi penduduk yang tidak tahu mengenai agama Islam, yang bukan beragama Islam, untuk mengetahui apa yang dimaksudkan dengan halal, termasuk kosmetik yang bebas daripada alkohol dan lemak haiwan,” kata Hosman

Lilit Gevorgyan, ketua ekonomi bagi Rusia dan bekas negara Soviet di IHS Markit menyatakan bahawa perkembangan ekonomi halal Rusia kelihatan mengagumkan tetapi muncul daripada asas yang sangat rendah.

Perkembangan selanjutnya dalam sektor itu sepertinya telah dipacu oleh pengeksportan daripada permintaan domestik, kata Lilit.

Ini adalah kerana pendapatan yang telah diterima oleh seisi rumah masih belum pulih sejak krisis 2014 yang disebabkan oleh kejatuhan harga minyak dunia dan sekatan Barat ke atas pengilhakkan Moscow terhadap Crimea.

Gevorgyan mengatakan, mengubah persepsi negara-negara Islam mengenai Rusia akan menjadi kunci utama jika Moscow mengambil berat untuk meningkatkan eksport halal.

“Penjenamaan adalah penting ketika Rusia belum lagi dilihat sebagai pengeluar produk halal utama,” tambahnya. – AFP