MOSCOW, 3 DIS – Rusia telah menutup fasiliti terkenal digelar ‘penjara ikan paus’ yang mengurung puluhan haiwan mamalia dalam keadaan sesak, justeru mencetuskan bantahan antarabangsa.
Hampir 100 ikan paus dikurung dalam fasiliti rahsia di Teluk Srednyanya berhampiran bandar timur Nakhodka pada 2018, sebelum dilepaskan selepas kempen oleh kumpulan hak haiwan dan pencinta alam sekitar pada 2019.
Haiwan berkenaan ditangkap untuk membuat persembahan dalam akuarium.
Pejabat pendakwa alam sekitar Amur Basin – rantau Timur Jauh Rusia – berkata semalam penjara itu telah dirobohkan.
“Demi mengelak pengurungan haiwan laut secara haram, struktur terapung dtelah irobohkan,” katanya dalam kenyataan. Struktur penjara telah dipindahkan ke sebuah limbungan kapal ‘dalam keadaan yang tidak mungkin digunakan lagi.’ Kumpulan alam sekitar mengalu-alu tindakan tersebut.
“Ia sepatutnya dilakukan lebih awal,” kata Dmitry Lisitsyn, ketua NGO Sakhalin Watch yang memimpin kempen membantah pengurungan ikan paus berkenaan.
Kesemua haiwan yang dikurung, termasuk 77 paus beluga, kini telah dilepaskan ke laut.
Lisitsyn berkata operasi membebaskan haiwan tersebut ‘adalah amat sukar’, memandangkan kebanyakannya masih damit yang belum menyesuaikan diri di lautan. – AFP
