Rusia, Ukraine muktamad perjanjian gas

KIEV, 31 DIS – Moscow dan Kiev semalam menandatangani perjanjian lima tahun mengenai penghantaran gas Rusia ke Eropah menerusi Ukraine, memuktamadkan rundingan sukar berbulan-bulan lamanya sebelum tarikh akhir tahun baharu.

Perjanjian sekarang di antara kedua-dua bekas negara Soviet luput tempohnya hari ini dan hubungan di antara mereka telah terjejas sejak Moscow memisahkan Crimea pada 2014 dan menyokong pemberontakan pemisah di timur Ukraine.

Kira-kira 18 peratus daripada penggunaan gas asli tahunan Kesatuan Eropah datang dari Rusia menerusi Ukraine, memberikan tekanan tambahan kepada pegawai EU yang membantu membroker perjanjian tersebut.

“Ukraine telah menandatangani kontrak transit lima tahun,” umum Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dalam laman Facebook, hampir dua minggu selepas perjanjian sementara dicapai.

“Perjanjian membabitkan pelbagai dokumen dan kontrak, dan bersama membentuk ‘satu pakej perjanjian yang telah mengukuhkan semula kepentingan,” Alexei Miller, bos syarikat gas Rusia Gazprom dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan.

Dokumen tersebut ditandatangani selepas rundingan tanpa henti selama lima hari. – AFP