Rusia umum larangan kemasukan warga Cina

MOSCOW, 19 FEB – Rusia akan  terus mengeluarkan visa rasmi, perniagaan, kemanusiaan dan transit kepada warga China, kata Kementerian Luar negara itu kelmarin, menjelaskan syarat-syarat larangan kemasukan untuk warga China yang diumumkan sehari sebelum itu.

Larangan itu berkuat kuasa pada Khamis pada waktu tengah malam Moscow. Ia diumumkan oleh kerajaan Rusia semalam di tengah wabak koronavirus baharu yang berpusat di China yang telah menjangkiti lebih daripada 75,000 orang di seluruh dunia.

Ia dikenakan disebabkan ‘situasi epidemiologi yang semakin buruk’ di China, kata pejabat Timbalan Perdana Menteri Tatyana Golikova dalam satu kenyataan.

Kementerian Luar Negeri Rusia menjelaskan pada hari ini bahawa larangan tersebut adalah bersifat sementara dan hanya digunakan untuk pengunjung dengan visa pelancong, persendirian, pelajar dan pekerjaan. Kemasukan untuk mereka yang mempunyai visa rasmi, perniagaan, kemanusiaan dan transit tidak akan dihadkan.

“Kami mengulangi kesediaan kami untuk meneruskan kerjasama yang erat dengan China demi menghapuskan ancaman umum ini secara efisien,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan.

Setakat ini, Rusia hanya mempunyai tiga kes penyakit COVID-19 yang disahkan berpunca daripada virus itu – dua warganegara China di Rusia yang dirawat dan dibebaskan, dan seorang warga Rusia yang dijangkiti di kapal persiaran Diamond Princess kini dikuarantin di Jepun.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Rusia telah mengambil langkah-langkah penting untuk mengelak virus tersebut daripada merebak.

Rusia menghentikan kebanyakan penerbangan ke China, menggantung semua kereta api ke China dan Korea Utara dan berhenti mengeluarkan visa kerja kepada warga China. Pelajar Cina yang belajar di Rusia diberitahu supaya jangan pulang sehingga 1 Mac. – AFP