Rusia usir diplomat kanan Norway

MOSCOW, 28 OGOS – Kementerian luar negeri Rusia hari ini mengatakan pihaknya telah mengusir seorang diplomat kanan Norway sebagai tindak balas setelah Oslo mengusir seorang diplomat Rusia berikutan penangkapan seorang suspek yang disyaki sebagai pengintip.

Kementerian Rusia mengatakan bahawa ‘sebagai tindakan balas dendam’ seorang diplomat kanan di kedutaan Norway diisytiharkan tidak diterima dan mesti keluar dalam masa tiga hari.

Rusia menuduh Norway mengambil ‘jalan yang merosakkan’ yang pasti akan menjejas hubungan dua hala. Jurucakap kementerian luar Norway, Guri Solberg menyebut pengusiran diplomat itu sama sekali tanpa asas dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP.

Norway menamakan diplomat itu sebagai Jan Flaete.

Ia berlaku setelah Norway mengumumkan pengusiran diplomat Rusia pada 19 Ogos, beberapa hari selepas menangkap seorang lelaki Norway yang disyaki menyampaikan maklumat sensitif ke Moscow.

Oslo menuduh diplomat Rusia, yang bekerja di bahagian perdagangan, melakukan pengintipan dengan statusnya sebagai diplomat.

Diplomat itu bersama lelaki Norway ketika ditangkap di sebuah restoran di Oslo. Warga Norway, yang dikenal pasti oleh dokumen mahkamah sebagai Harsharn Singh Tathgar, mungkin dipenjara hingga 15 tahun jika didapati bersalah melakukan pengintipan. – AFP