Rusia usir dua diplomat Jerman

MOSCOW, 12 DIS – Rusia berkata hari ini ia akan mengusir dua diplomat Jerman, dalam tindakan balas balik selepas Berlin mengusir dua warga Rusia berhubung pembunuhan seorang bekas komander Chechen di taman Berlin.

Jerman dengan serta-merta membantah tindakan itu, mengingatkan Berlin mungkin mengambil ‘tindakan lanjut’ dalam perbalahan itu.

“Sebagai tindakan balas, pihak Rusia telah memutuskan untuk mengisytiharkan dua pekerja di kedutaan Jerman di Rusia ‘persona non grata’,” kata kementerian luar Rusia dalam satu kenyataan, memberikan mereka tempoh tujuh hari untuk meninggalkan negara.

Kementerian membuat pengumuman itu selepas memanggil Duta Jerman Geza Andreas von Geyr dan mengeluarkan satu bantahan diplomatik formal berhubung penyingkiran ‘tanpa asas’ diplomat Rusia.

Jerman menyingkir warga Rusia pada minggu lalu selepas pendakwa berkata Moscow mungkin berada di sebalik pembunuhan Zelimkhan Khangoshvili, warga Georgia berusia 40 tahun.

Khangoshvili ditembak dua kali di kepala pada jarak dekat di taman Kleiner Tiergarten pada Ogos, didakwa dilakukan oleh seorang lelaki Rusia yang ditahan sejurus selepas itu.

Kes itu telah disamakan dengan peracunan bekas ejen Rusia Sergei Skripal di Britain pada tahun lalu dengan ejen saraf era Soviet, yang menjejaskan hubungan di antara London dan Moscow. – AFP