Russell disahkan rakan sepasukan baharu Hamilton

LONDON, 8 SEPT – George Russell kelmarin disahkan sebagai rakan sepasukan baharu Lewis Hamilton dalam pasukan Formula Satu Mercedes musim hadapan selepas Valtteri Bottas melengkapkan perpindahan ke Alfa Romeo.

Pemain kelahiran Britain berusia 23 tahun itu meraih perpindahan yang dinantikan ke pasukan Silver Arrows, dengan menandatangani perjanjian jangka panjang, selepas prestasi yang menakjubkan sepanjang tiga tahun bersama pasukan Williams.

Dia juga pernah mempamerkan persembahan mengujakan dalam penampilan tunggal bersama Mercedes tahun lalu di Grand Prix Sakhir, ketika pemandu juara dunia tujuh kali, Hamilton, diuji positif dijangkiti koronavirus.

Russell, yang akan membentuk gandingan kesemua pemandu Britain bersama Hamilton, berkata ia merupakan ‘hari yang istimewa’.

“Saya pasti berbohong jika saya berkata saya tidak berasa teruja,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Mercedes. “Ia adalah peluang besar dan saya ingin merebutnya.

“Tetapi saya tidak mahu dibuai mimpi disebabkan cabaran besar ini. Ia akan menjadi satu proses pembelajaran yang besar buat saya.

Dia turut menambah, “Saya mengagumi Lewis sejak saya bermain go-kart dan peluang untuk belajar daripada seseorang yang menjadi model insan di dalam dan luar litar akan memberi manfaat kepada saya sebagai seorang pemandu, seorang profesional dan seorang individu.

Hamilton, yang ketika ini menduduki tangga kedua, tiga mata di belakang pemandu Red Bull, Max Verstappen, mengalu-alukan kedatangan rakan baharunya itu.

“Hasil kerja keras melayakkannya untuk meraih kedudukan ini,” menurut juara bertahan berusia 37 tahun dalam Twitternya, yang baru-baru ini memberikan penghargaan kepada Bottas yang bakal berpindah.

“Saya tidak sabar untuk melihat dia berkembang sebagai seorang pemandu bersama pasukan yang hebat dan bekerjasama dengannya untuk meningkatkan @MercedesAMGF1 ke kedudukan lebih tinggi. Jumpa anda tahun hadapan.”- AFP

George Russell diumumkan sebagai rakan sepasukan baharu Lewis Hamilton di Mercedes bagi musim hadapan.- AFP