Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusuhan di Thailand kian memuncak

    BANGKOK, 21 OKT – Aktivis dalam kalangan pelajar telah mengemukakan permohonan ke mahkamah hari ini untuk pembatalan perintah darurat yang diisytiharkan oleh kerajaan Thailand minggu lalu dalam usaha untuk mengekang tunjuk perasaan antikerajaan yang semakin meningkat di negara itu.

    Bagaimanapun, Perdana Menteri Thailand hari ini berkata bahawa dia mungkin akan membatalkan perintah tersebut, yang dilihatnya gagal mengekang gerakan penunjuk perasaan.

    Tunjuk perasaan berlanjutan setiap hari dalam gerakan menyeru kepada peletakan jawatan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha dan menggesa kepada perlembagaan yang lebih demokratik dan pembaharuan monarki.

    Penunjuk perasaan berkumpul hari ini untuk hari kelapan berturut-turut, walaupun kebanyakan pemimpin tertinggi mereka telah ditahan dan perintah darurat telah melarang perhimpunan awam lebih dari empat orang.

    Kumpulan utama yang terdiri dari beberapa ribu orang bertemu di sebuah monumen di Bangkok, dan kemudian mulai berarak ke Rumah Kerajaan iaitu pejabat perdana menteri.

    Sementara itu, ucapan perdana menteri yang dirakam oleh televisyen dijadualkan akan disiarkan malam ini, di mana dia dijangka menyeru kepada penyelesaian krisis politik secara damai.

    Rusuhan yang berlaku di Bangkok gagal dikawal oleh anggota polis yang menggunakan meriam air untuk meleraikan perhimpunan, bahkan penunjuk perasaan yang menyertai rusuhan tersebut semakin bertambah dari hari ke hari.

    Sejak Jumaat lalu, polis tidak berdepan dengan para penunjuk perasaan secara langsung, tetapi berusaha menghentikan perhimpunan mereka dengan penutupan transit kereta api dan berusaha untuk menyekat aktiviti penganjuran dalam talian mereka. – AFP

    Para penunjuk perasaan ketika memindahkan penghadang yang diletakkan oleh anggota keselamatan untuk menghalang rusuhan di Bangkok, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda