Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusuhan penjara Brazil melarat

    NATAL, 20 Jan – Banduan yang bersenjatakan kayu membaling batu dan memulakan kebakaran di penjara di Brazil yang menyaksikan kes pembunuhan beramai-ramai sebelum ini.

    Rusuhan dilaporkan merebak ketika pihak berkuasa bergelut mengekang keganasan berkumpulan. Polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata untuk cuba memisahkan dua kumpulan banduan yang bertempur di perkarangan penjara Alcacuz.

    Kekecohan juga meletus semalaman di bandar Natal berhampiran penjara, memaksa kerajaan mengarahkan tentera ditempatkan di bandar itu.

    “Tentera akan mengadakan rondaan di jalan raya di Natal selepas rusuhan di penjara Alcacuz,” kata Presiden Michel Temer dalam kenyataan.

    Saluran televisyen Globonews menunjukkan gambar banduan yang cedera dipindahkan dari penjara.

    “Rusuhan juga berlaku semalaman di enam bandar negeri itu,” kata jurucakap pihak berkuasa tempatan.

    Perusuh membakar 21 bas, selain beberapa kenderaan dan tujuh orang ditahan dalam kejadian itu. “Seorang terbunuh dan lima lagi cedera ketika rusuhan di satu penjara lain di bandar Caico,” katanya.

    Pada Rabu, pegawai elit memasuki penjara Lacacuz berhampiran Natal dan memindahkan 220 banduan ke penjara lain.

    Di bandar, pihak yang ada kaitan dengan anggota kumpulan penjenayah yang dipenjarakan ‘menyerang bas sebagai membalas dendam kepada keputusan memisahkan tahanan’, kata Gabenor Robinson Faria.

    “Keadaan semakin buruk malam kelmarin,” katanya. Penjara Alcacuz menjadi lokasi keganasan dahsyat antara dua kumpulan bermusuhan hujung minggu lalu apabila 26 banduan dibunuh, kebanyakannya dipenggal.

    Ia adalah pembunuhan beramai-ramai ketiga terbesar di penjara Brazil tahun ini. Setakat ini, 134 maut dalam keganasan di penjara, menurut akhbar Folha de Sao Paolo, memetik kenyataan Kementerian Kehakiman. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda