RUU Antilompat parti diharap diluluskan sebelum PRU15

KUCHING, 4 MEI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dapat dibentangkan dan diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Bagaimanapun beliau berkata ia terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sama ada RUU itu dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan Julai ini atau diadakan awal pada persidangan khas.

“Ada yang mahu RUU ini dibentang pada persidangan bulan Julai, dan ada yang mahu diawalkan, namun terpulang kepada perdana menteri sendiri untuk menentukan perkara itu setelah kajian selesai dan diserahkan kepada beliau.

 “Kalau tanya saya, pada saya lebih baik kita laksanakan RUU ini dahulu (sebelum PRU15) kerana tidak mahu apa yang berlaku pada 2018 berlaku lagi pada tahun ini atau 2023 nanti. (Kalau) RUU belum siap kita dah PRU, lepas itu lompat kiri lompat kanan (ahli politik bertukar parti),” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian ketika ditemui pada Program Libat urus Bersama Masyarakat di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata beliau tidak boleh mendedahkan mengenai RUU itu secara lebih lanjut selagi ia belum dibentangkan kerana terikat dengan Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. – Bernama