Rwanda arak ‘penyerang’ militia Hutu

KIGALI, 7 OKT – Pihak berkuasa Rwanda telah mengarak lima suspek dalam serangan hujung minggu di mana mereka memberitahu wartawan mereka adalah dari kumpulan militia Hutu FDLR yang berpangkalan di negara jiran DR Congo.

Serangan itu, di mana 14 orang awam terbunuh, berlaku berhampiran Taman Negara Volcanoes, yang terkenal dengan tempat perlindungan gorila gunung.

Ia merupakan satu kawasan yang berkali-kali disasarkan oleh pemberontak Rwanda yang beroperasi dari Republik Demokratik Congo.

Satu kumpulan sedemikian adalah Tentera Demokratik untuk Pembebasan Rwanda (FDLR), ditubuhkan oleh pelarian Hutu Rwanda di timur DRC selepas pembunuhan penduduk Tutsi oleh militia Hutu di Rwanda pada 1994.

Kelima-lima pemberontak didakwa ditangkap dalam operasi di mana polis berkata 19 ‘pengganas’ terbunuh, diarak di depan media pada malam semalam, menjawab soalan daripada wartawan.

Mereka berkata tujuan mereka adalah untuk ‘mengguling kerajaan’ dalam komen di mana kebenarannya tidak dapat disahkan.

“Kami datang untuk membunuh askar tetapi komander kami mula membunuh orang awam dan mengarah kami melakukan yang sama,” kata Emmanuel Hakizimana, 27, yang berkata dia menyertai FDLR pada 2018 di Uganda. – AFP