Ryanair catat kerugian suku pertama

LONDON, 27 JULAI – Syarikat penerbangan tambang murah Ireland Ryanair mencatatkan kemerosotan dalam suku pertama, apabila pandemik koronavirus menjejaskan permintaan perjalanan udara dan menyebabkan armada kapal terbang terhenti di seluruh dunia, kata kumpulan hari ini.

Ryanair mencatat kerugian selepas cukai berjumlah 185 juta euro dalam tiga bulan sehingga akhir Jun, atau suku pertama tahun kewangannya, dedahnya dalam satu kenyataan keputusan.

Prestasi yang tidak memberangsangkan itu dibandingkan dengan keuntungan bersih berjumlah 243 juta euro dalam tempoh yang sama 2019, tetapi mengatasi ramalan kerugian berjumlah 200 juta euro.

Jumlah penumpang merosot 99 peratus kepada 0.5 juta orang dalam suku pertama berbanding dengan 42 juta setahun sebelumnya, sementara lebih 99 peratus daripada armada kapal terbang masih tersadai di landasan terbang. Jualan merosot kepada 125 juta euro daripada 2.312 bilion.

Penerbangan global telah terkesan oleh wabak COVID-19, tatkala sekatan dan penutupan sempadan menjejaskan permintaan perjalanan dan mencetuskan kemerosotan keuntungan dan pemotongan kos, selain kemuflisan dan pelan menyelamat di seluruh sektor.

“Suku sebelumnya adalah paling mencabar dalam sejarah 35 tahun Ryanair. COVID-19 mendorong armada kumpulan terhenti selama hampir empat bulan, dari pertengahan Mac hingga akhir Jun, apabila kerajaan EU mengenakan sekatan penerbangan dan perintah berkurung,” kata syarikat penerbangan dalam kenyataan. – AFP

Gambar fail pada 23 Mac 2020 menunjukkan jet penumpang Ryanair kelihatan di landasan terbang di lapangan terbang Dublin. Ryanair berkata kelmarin ia mencatat kerugian dalam suku pertama disebabkan pandemik COVID-19. – AFP