Ryanair, MAG saman kerajaan UK

LONDON, 17 JUN – Syarikat penerbangan tambang murah Ireland Ryanair dan Kumpulan Lapangan Terbang Manchester (MAG) hari ini dijangka menyaman kerajaan UK berhubung sekatan perjalanan COVID-19.

Tindakan guaman itu bertujuan mendapatkan ketelusan yang lebih telus bagaimana destinasi dikelaskan dalam sistem perjalanan itu, menurut MAG, yang mengendalikan lapangan terbang Manchester dan London.

Sistem risiko COVID-19 di Britain menilai destinasi sebagai hijau, kuning atau merah untuk menentukan kuarantin dan syarat-syarat ujian apabila pelawat kembali semula ke negara.

Bagaimanapun, klasifikasi terbaharu di Portugal – daripada hijau kepada kuning – mencetuskan kemarahan dari seluruh sektor penerbangan.

Tindakan guaman itu disokong oleh beberapa syarikat penerbangan lain, kata MAG.

Gambar fail menunjukkan anggota keselamatan menggunakan anjing pengesan untuk memeriksa bagasi penumpang Ryanair dari Athens ke Vilnius, Lithunia. Ryanair dan Kumpulan Lapangan Terbang Manchester (MAG)dijangka menyaman kerajaan UK berhubung sekatan perjalanan COVID-19. – AP

“Perkembangan terbaharu mencadangkan kerajaan kini keberatan membuka perjalanan antarabangsa dengan memberikan negara berisiko rendah dalam senarai hijau,” kata ketua eksekutif MAG, Charlie Cornish.

“Untuk kebanyakan negara, lampu isyarat nampaknya terhenti pada kuning tanpa sebarang alasan kukuh, meskipun mencatat kadar jangkitan yang lebih rendah berbanding UK.”

Beliau menambah kerajaan tidak bersikap ‘terbuka’ dan perlu memberikan penjelasan untuk membolehkan sektor itu merancang, dan pelancong membuat tempahan dengan yakin.

Bos Ryanair, Michael O’Leary mengecam sistem itu sebagai ‘kucar-kacir.’

“Dasar lampu isyarat ini mengakibatkan kerosakan teruk kepada industri penerbangan dan mengecewakan jutaan keluarga British,” menurut O’Leary.

“Kami menggesa Perdana Menteri Boris Johnson supaya memberikan penjelasan asas saintifik di sebalik sistem yang direka oleh kerajaan berkenaan.” – AFP